Proton lancar empat model edisi khas
KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd (Proton) telah melancarkan empat model edisi khas (SE) iaitu Persona dan Exora Black Edition serta Iriz dan Saga R3 Limited Edition, masing-masing berharga RM55,600, RM69,800, RM44,800 dan RM53,700.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah yang membuat pelancaran secara maya berkata, selaras dengan pengecualian cukai jualan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Proton akan menawarkan harga istimewa di jalan raya (tanpa insurans) untuk model-model SE ini iaitu Persona (RM54,700), Exora (RM67,800), Saga (RM42,300) dan Iriz (RM52,000).
"Model SE direka bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk model Proton yang unik, berikutan kejayaan pelancaran Edisi Ulang Tahun Saga pada 9 Julai tahun lepas, yang menyaksikan kesemua 1,100 unit dijual dalam tempoh hanya lima hari," katanya.
Menurutnya lagi, ini adalah kereta buatan tempatan, yang mensasarkan pembeli Malaysia dan sebagai peringatan bahawa Proton sentiasa menjadi pengeluar kereta 'perkhidmatan penuh' yang berupaya bagi mereka bentuk, membangun dan membina jentera sendiri.
''Dan sekarang, dengan sokongan daripada rakan kongsi kami, Geely, kami dapat membangunkan model baharu yang menampilkan teknologi terkini pada kadar yang lebih pantas,'' katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pereka Proton, Azlan Othman ketika bercakap mengenai reka bentuk memberitahu Persona dan Exora Black Edition dipasang dengan hiasan warna emas pada bampar dan roda aloi.
Katanya, ruang dalaman kedua-dua model pula dilengkapi dengan kulit hitam pada tempat duduk, trim pintu dan konsol lantai tetapi bagi Persona, bumbung dalamannya dipasang dengan warna hitam, manakala Exora dilengkapi dengan sistem monitor.
''Walaupun gaya dan kemewahan adalah teras utama model Black Edition, Proton Iriz dan Saga R3 Limited Edition pula mencerminkan kejayaan bahagian sukan permotoran Proton.
“Lencana R3 sentiasa dikhaskan untuk model Proton yang paling ‘sporty’ seperti Iriz dan Saga,” katanya, sambil menambah bahawa kereta itu akan dipasang dengan ‘livery’ R3 tersendiri yang digunakan pada kereta lumba Proton.
''Iriz dilengkapi roda aloi R3 16 inci, manakala Saga dipasang roda aloi 15 inci dengan kemasan matte grey.
''Kit badan R3 melengkapkan perubahan luar, manakala di dalamnya, dengan warna hitam-kuning yang unik, kerusi kulit serta permaidani R3 mewujudkan suasana tersendiri dengan sentuhan yang agak ‘sporty’,'' katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!