Wanita OKU tersepit kaki dalam lubang tandas
PONTIAN - Seorang wanita kategori orang kurang upaya (OKU) terpaksa menahan sakit kira-kira satu jam selepas kakinya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Jalan Parit Tengah, Benut, di sini malam Rabu.
Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, Siti Nurul Ashikin Embok Echuk, 18, tergelincir dan kaki kirinya masuk ke dalam lubang tandas.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian dengan satu jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Julia Sani berkata, operasi mengeluarkan kaki mangsa menggunakan Rescue Tools dan terpaksa memecahkan sebahagian mangkuk tandas.
"Mangsa mengalami kecederaan luka kecil pada kaki akibat tersepit selepas berjaya dikeluarkan dengan selamat.
"Operasi tamat pada jam 11.04 malam," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!