19 PATI dalam Op Benteng Covid
KUALA SELANGOR - Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Benteng Covid di Parit 3 Kampung Sungai Burong, di sini pada Khamis.
Pegawai Pemerintahnya, Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua mereka ditahan pada jam 8.30 pagi selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah
Menurutnya, seramai sembilan lelaki dan lapan wanita yang ditahan itu merupakan warga Indonesia manakala masing-masing seorang lelaki dan wanita pula merupakan warga Myanmar.
"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun," katanya dalam satu kenyataan medianya pada Khamis.
Rizal berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua mereka masuk ke negara ini melalui jalan laut menggunakan bot dan mendarat di pesisir pantai Kampung Sungai Burong.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1953/63.
"Mereka akan menjalani ujian saringan Covid 19 bagi mencegah penularan virus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!