Maut dipukul kerana mengejek
ALOR SETAR - Seorang lelaki maut dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala di sebuah rumah di Jalan Hong Seng, Pasar Kota Sarang Semut, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan insiden pergaduhan antara dua lelaki kira-kira jam 8.05 pagi.
"Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek marah kerana mangsa mengejek dirinya sebelum pergaduhan tercetus antara mereka.
"Punca kematian mangsa kerana dipukul oleh objek tumpul di bahagian kepala. Polis telah menahan suspek pada hari sama lebih kurang satu jam selepas kejadian," katanya dalam satu kenyataan selepas melawat sekatan jalan raya di Tol Alor Setar (Selatan) pada Khamis.
Ahmad Shukri berkata, polis turut merampas senjata berupa sebatang besi yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek masing-masing berusian lingkungan 30-an sedang menjalani perintah sekatan atas kesalahan kes jenayah.
"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!