Dalang sindiket penculikan mati ditembak
KAJANG - Dua lelaki dipercayai dalang utama sindiket penculikan membabitkan warga asing sekitar Lembah Klang ditembak mati dalam kejadian di Taman Mudun, Batu 9, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata, dalam kejadian kira-kira 1.35 pagi sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah hasil maklumat dan risikan.
Menurutnya, dipercayai rumah tersebut dijadikan tempat untuk suspek menyembunyikan mangsa.
"Ketika serbuan, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan.
"Bagi mempertahankan diri, polis telah melepaskan tembakan ke arah suspek yang juga merupakan warga asing," katanya.
Ahmad Dzaffir berkata, dalam kejadian itu, polis turut berjaya menyelamatkan seorang mangsa warga Bangladesh berusia linkungan 30-an yang dilaporkan diculik di Sentul pada 8 Februari lalu.
Katanya, sepucuk pistol jenis 9mm dan sebilah parang yang digunakan suspek telah dirampas di lokasi kejadian.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!