‘Bersatu usah bermimpi’
JOHOR BAHRU - UMNO Johor tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan kesemua kerusi yang ditandingi mereka kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Bersatu usah bermimpi untuk UMNO memberi laluan kepada mereka.
“Pendirian kita tidak berubah seperti tahun lepas, kita cuma boleh bagi muka kepada kerusi Parlimen Pagoh saja untuk Tan Sri Muhyiddin, kerusi-kerusi lain minta maaf ya.
“Bersatu jangan harap nak ambil kerusi UMNO. Kalau mereka nak juga, kena berlawan dengan kita pada PRU15 nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, tindakan pemimpin Bersatu yang semakin besar kepala, bernafsu dan berhajat ‘membunuh’ UMNO dengan cadangan pengharaman ke atas parti itu tidak boleh diterima oleh semua peringkat dalam UMNO.
Tambahnya, mustahil UMNO dapat bekerjasama dan berjuang bersama sebuah parti yang angkuh serta tidak tahu menghormati orang lain.
“Bersatu sudah merasakan mereka semakin kuat bila bersama Pas dalam Perikatan Nasional, jadi kalau mereka nak kerusi UMNO kenalah bertanding lawan UMNO pada PRU15.
“Tingkah laku pemimpin Bersatu yang semakin menjengkelkan sejak kebelakangan ini membuatkan UMNO tidak lagi berminat untuk berunding.
“Kalau sudah tak boleh bersama, kita lawan. Kita tengok nanti siapa yang kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan UMNO Perak dan Selangor yang bertegas tidak akan memberi sebarang kerusi kepada Bersatu pada PRU15.
Sementara itu, Nur Jazlan juga mahu Pas menyatakan pendirian rasmi sama ada mereka mahu kekal bersama Muafakat Nasional (MN) atau ingin bergabung dengan Bersatu di bawah PN pada PRU15.
Jelasnya, dalam situasi yang masih kabur ini Pas perlu berani dan jujur dalam membuat keputusan serta tidak boleh terus ‘bermain secara selamat’.
“Kita nak dengar satu kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan Pas adakah mereka masih berminat kerjasama dalam MN ataupun mahu berpindah sokongan kepada PN.
“Jangan selalu sangat suka memanipulasi situasi demi kepentingan parti sendiri. Kalau betul jujur dan bermaruah kena cepat buat pilihan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!