'Ikut resipi saya, Insya-ALLAH roti canai lembut hingga malam'

Paparan Facebook Mohd Nor mengenai resipi roti canai lembut hingga ke malam kepada warga maya yang tular di laman sosial.
Paparan Facebook Mohd Nor mengenai resipi roti canai lembut hingga ke malam kepada warga maya yang tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki menjadi popular di laman sosial selepas berkongsi resipi roti canai lembut hingga ke malam di Facebook miliknya.

Mohd Nor Sapian, 52, yang bertugas di Kaizen Executive di UMW Advantech Sdn Bhd, Seksyen 15, Shah Alam tidak menyangka perkongsian resipi roti itu menjadikan dirinya dikenali ramai dan tidak kurang juga yang mengucapkan terima kasih kerana idea berkenaan.

Lelaki itu juga mengakui terkejut selepas video yang dimuat naik di Facebook pada Disember tahun lalu tular sehingga kini.

“Pada awalnya, saya lihat tiada sesiapa yang memiliki resipi seperti saya, jadi saya mahu berkongsi kepada masyarakat. Tambahan pula roti canai di pasaran keras dan liat apabila sejuk.

“Niat saya untuk berkongsi video lebih mudah membuat roti canai yang teksturnya lembut dan bila dimakan pada waktu malam pun tetap lembut. Tidak sangka pula hingga 45,000 perkongsian daripada netizen. Kini ramai yang menegur "ini abang roti canai viral di FB ke?” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berpengalaman selama tiga tahun sebagai penebar roti canai bersyukur kerana membuka ruang dan peluang perniagaan kepada ramai orang menerusi perkongsian video itu.

Mohd Nor bersama isterinya, Nor Murni Fazil.
Mohd Nor bersama isterinya, Nor Murni Fazil.

“Saya bersyukur kerana boleh membantu netizen yang mungkin berhasrat membuka kedai roti canai selepas diberhentikan kerja akibat penularan Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kepada yang sudah berniaga pula mungkin resipi saya boleh membantu tingkatkan kualiti roti canai mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak ini berkata, ramai kenalannya telah mencuba resipi tersebut dan terbukti makanan kegemaran rakyat Malaysia itu masih sedap dimakan pada bila-bila masa dan lembut.

“Memang tidak dinafikan, bagi sesiapa yang pertama kali membuat roti canai, mengikut resipi saya, Insya-ALLAH berhasil," katanya.

Mohd Nor memberitahu, kelembutan roti canainya ialah adunan gandum tidak diuli lama.

"Mula-mula gaul tepung, telur, Planta, susu pekat, sedikit garam dan air hingga rata dalam lima minit. Kemudian berhenti lima minit dan biarkan adunan itu sebati.

“Kemudian uli semula dua ke tiga minit. Berhenti lagi lima minit. Uli lagi dua ke tiga minit. Berhenti lagi lima minit. Uli lagi tiga minit dan buat bebola. Setiap bebola saya lumur dengan Planta sebelum disimpan sekurang-kurangnya dua jam sebelum boleh di tebar,” katanya.

Mohd Nor berharap resipi tular itu dapat memberi manfaat kepada warga maya yang memerlukan.

“Terima kasih kepada netizen yang sudi berkongsi kepada orang lain resipi roti canai saya. Jika ada Pertanyaan, sila WhatsApp saya di www.wasap.my/60123073949,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!