Abdul Hadi dibenarkan pulang hari ini
SHAH ALAM- Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibenarkan pulang hari ini selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak Isnin lepas.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan terhutang budi kepada doktor dan petugas di Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dan IJN di atas kecekapan dan profesionalisme yang tinggi serta semua yang mendoakan kesihatannya.
Selain itu, beliau turut mengikuti perkembangan berita dalam dan luar negara khususnya berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang menerima rawatan.
“Pelbagai langkah yang diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara. Semoga semuanya dapat dijayakan dengan dukungan bersama,” katanya melalui ciapan di Twitter pada Jumaat.
Abdul Hadi dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya kira-kira jam 7.50 malam Isnin lalu kerana mengalami sesak nafas sebelum dirujuk ke IJN untuk rawatan susulan pada jam 9.50 malam.
Anak beliau, Muhammad Khalil dalam kenyataan di Facebook mengesahkan bapanya stabil ketika dirawat di IJN.
ARTIKEL BERKAITAN Minta anak hantar laptop, kesihatan Abdul Hadi semakin baik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!