Penganjur himpunan di Dengkil dilepas tanpa dibebaskan
SEPANG - Seorang aktivis Gerakan Turun Harga Minyak (Gertak) dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Sepang daripada pertuduhan menjadi penganjur satu perhimpunan di simpang empat Dengkil tahun lalu.
Majistret A Akhiruddin Acho melepas tanpa membebaskan Hazimun Rahman Mohammad selepas dimaklumkan, Jabatan Peguam Negara membenarkan representasi yang dikemukakan pasukan peguam bela berhubung tuduhan yang dihadapinya pada 6 April 2018.
Mengikut pertuduhan, Hazimun Rahman, 31, didakwa gagal membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah Sepang dalam tempoh 10 hari sebelum menganjurkan perhimpunan di Simpang Empat Dengkil, yang berlangsung pada 15 September 2017 jam 4.30 petang.
Perbuatan itu melanggar seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Peguam yang mewakili Hazimun, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara intipati representasi adalah, perhimpunan yang diadakan adalah dalam ruang lingkup hak beperlembagaan dan ia dilakukan sebagai satu tuntutan untuk kepentingan rakyat.
Sementara itu, Hazimun Rahman bersyukur atas keputusan tersebut.
"Alhamdulillah atas keputusan ini. Perjuangan menuntut penurunan harga minyak tidak sia-sia dengan langkah terbaru kerajaan yang memberikan subsidi bagi menurunkan harga minyak," ujarnya.
Selain Muhammad Faiz, Hazimun turut diwakili peguam Mohd Faizal Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aziatul Afrizan Alias.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!