Warga China tak mengaku curi data mesin ATM KLIA
SEPANG - Seorang warga China didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan mencuri data pemilik kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Tertuduh, Chengyong Guo, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Akhiruddin Acho.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat capaian maklumat dengan menggunakan dua alat yang disyaki 'skimming' bagi mencuri data pemilik kad ATM dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap mesin ATM.
Perbuatan itu didakwa di sebuah mesin ATM di aras 3, KLIA pada jam 8.30 pagi, 22 Januari lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Aziatul Afrizal Alias memohon mahkamah tidak mengenakan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan dia merupakan warga asing.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!