Permohonan KPN batal saman Indira Gandhi didengar 22 Jun
KUALA LUMPUR - Permohonan Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman guru tadika, M Indira Gandhi berhubung dakwaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal melaksanakan waran komital bagi menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki itu, 12 tahun lepas akan didengar pada 22 Jun ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof yang berlangsung menerusi sistem dalam talian (e-Review) pada Jumaat.
Peguam itu berkata, mahkamah juga menetapkan tarikh sama (22 Jun) bagi pendengaran permohonan interogatori untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
"Pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis bagi kedua-dua permohonan itu pada 23 Mac ini manakala hujahan balas difailkan pada 6 April," katanya.
Pada 11 Januari lepas, Indira memfailkan permohonan interogatori itu dan antara lain memohon KPN menjawab soalan berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah yang sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan yang didakwa berada di Selatan Thailand.
Pada 28 Oktober tahun lepas, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.
Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan, kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana Diksa, 13, kepadanya.
Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM, bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan, pada 29 April 2016.
Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga kini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!