Mandur maut, JKKP arah henti kerja pembinaan

Lokasi mangsa terjatuh ketika memanjat tangga lori pengadun konkrit untuk memeriksa kualiti konkrit. Gambar kecil: Zamzurin Maarof
Lokasi mangsa terjatuh ketika memanjat tangga lori pengadun konkrit untuk memeriksa kualiti konkrit. Gambar kecil: Zamzurin Maarof
A
A
A

IPOH - Pemaju projek di sebuah tapak pembinaan bangunan pejabat lima tingkat di sini diarah menghentikan kerja serta-merta susulan kematian seorang mandur yang terjatuh dari ketinggian dua meter pada Khamis.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, arahan itu keluarkan bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

"Pegawai kita telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan susulan daripada itu, kita telah mengarahkan aktiviti kerja di tapak pembinaan dihentikan sehingga siasatan lengkap dan tindakan penambah baikan dibuat oleh majikan.

"Tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, mangsa Cheng Chee Keong, 58, yang bertugas sebagai mandur di tapak pembinaan itu terjatuh ketika memanjat tangga lori pengadun konkrit untuk memeriksa kualiti konkrit.

"Kejadian sekitar jam 9.10 pagi itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu boleh dielak sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja sepatutnya bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!