Tak jadi terjun jambatan selepas dipujuk bekas isteri
RAWANG - Seorang wanita berjaya memujuk bekas suaminya yang mahu terjun dari jambatan Rawang Bypass pada ketinggian kira-kira 100 meter pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang.
Menurutnya, lelaki berusia 50 tahun itu didapati sedang berdiri di atas pembahagi jalan sambil berpaut pada tiang lampu jalan ketika pasukan penyelamat tiba.
"Pihak polis dan bomba berusaha memujuknya namun suspek enggan memberikan kerjasama dan mengugut akan terjun.
"Ketika dalam proses memujuk, datang seorang perempuan yang mendakwa bekas isteri suspek hadir untuk memujuk suspek. Suspek akhirnya berjaya dipujuk," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan mendapati suspek bertindak demikian selepas menghadapi krisis rumah tangga bersama bekas isteri selepas bercerai pada Januari lalu.
"Suspek yang baru berhenti kerja sebagai pemandu peribadi dalam usaha memujuk bekas isteri untuk rujuk semula.
"Ia adalah perkahwinan kedua suspek selama empat tahun dan tidak dikurniakan zuriat," katanya.
Tambahnya, suspek ditahan dan akan direman pada Sabtu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!