Malaysia jadi pengeluar produk digital, penyedia penyelesaian digital bagi pasaran serantau
KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi pengeluar produk digital dan penyedia penyelesaian digital bagi pasaran serantau di bawah fasa ketiga Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (2026-2030).
Menurut laporan rangka tindakan tersebut, ini termasuklah kerajaan perlu dipacu data, dengan pendigitalan yang tinggi bagi semua proses dan data dijadikan asas pentadbiran yang menghubungkan masyarakat, perniagaan dan kerajaan.
Selain itu, urusan menjalankan perniagaan menjadi lebih mudah dengan kerajaan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memulakan dan menjalankan perniagaan.
Di bawah fasa tersebut, mempunyai kumpulan bakat digital berkualiti tinggi dan masyarakat digital yang inklusif serta peningkatan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan perniagaan dan masyarakat turut digariskan.
Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.
Katanya, penjawat awam berkemahiran tinggi yang terdiri daripada pakar teknikal dan bakat profesional berkaitan ICT bakal dibangunkan dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan kepada pembekal atau pakar luar dalam menyediakan perkhidmatan teknikal.
Ini akan dilaksanakan dalam fasa 1 hingga fasa dua (2021-2025) apabila Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam menyasarkan untuk melahirkan 250 pelatih bertauliah di bawah program Digital Government Competency and Capability Readiness pada 2025.
Inisiatif ini bertujuan membangunkan dua kumpulan bakat dalaman iaitu bakat teknikal khusus termasuk saintis data, pakar keselamatan siber dan pengaturcara serta pakar bidang khusus yang mempunyai kemahiran untuk merancang dan melaksanakan agenda digital yang strategik seperti pekerja yang berpengalaman dalam bidang ekonomi, pengurusan rantaian bekalan serta pembangunan dan perancangan perniagaan.
“Ia akan menyediakan laluan kerjaya yang menarik untuk mengekalkan bakat dan juga merangkumi perancangan jangka panjang untuk latihan dan peningkatan kemahiran yang berterusan dalam bidang teknikal,” katanya.
Di bawah teras satu rangka tindakan itu, MAMPU akan turut ditingkatkan keupayaannya dalam memacu pendigitalan dan bertindak balas terhadap perubahan pantas teknologi digital menjelang 2022.
Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan peranan MAMPU dalam membangunkan sistem yang menyeluruh untuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memacu pendigitalan dengan lebih baik.
Ia juga akan diberi mandat yang lebih besar dalam penguatkuasaan dan bertindak sebagai penasihat, pasukan projek atau pakar bidang khusus dalam projek berkaitan digital di seluruh negara.
Selain itu, sektor awam akan ditingkatkan dengan teknologi digital dengan sasaran 100 peratus penjawat awam menjadi celik digital menjelang 2025.
Enam Teras Strategik telah dikenal pasti di bawah rangka tindakan tersebut iaitu memacu transformasi digital di sektor awam, meningkatkan daya saing ekonomi melalui digitalisasi, membangunkan infrastruktur digital, membangunkan tenaga kerja berkemahiran digital, mewujudkan masyarakat digital yang inklusif dan mewujudkan persekitaran digital yang terjamin dan beretika.
Teras ini disokong oleh 22 strategi, 48 inisiatif nasional dan 28 inisiatif peringkat sektor.
Pelaksanaan rangka tindakan ini dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa 1 bermula dari 2021 hingga 2022 yang akan mengukuhkan asas penggunaan digital, fasa 2 (2023 hingga 2025) akan memacu transformasi digital yang inklusif dan fasa tiga (2026 hingga 2030) akan menjadikan negara sebagai peneraju serantau dalam bidang kandungan digital dan keselamatan siber. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!