Mesyuarat MKT UMNO sah bersidang malam ini

MKT UMNO mengadakan pertemuan malam ini.
MKT UMNO mengadakan pertemuan malam ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sah bakal bersidang di Janda Baik, Pahang pada malam ini.

Menurut sumber terdekat MKT UMNO, persidangan itu akan dimulakan seawal jam 9 malam dan diyakini dihadiri sebahagian besar daripada keseluruhan 50 ahli MKT termasuk Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas sumber berkenaan, beliau masih belum menerima sebarang minit mesyuarat daripada, bagaimanapun yakin agenda perbincangan adalah sebagaimana digembar-gemburkan media iaitu status kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Ya...Mesyuarat MKT UMNO akan bermula bila-bila masa dari sekarang. (Berkenaan soal agenda mesyuarat) Saya belum terima lagi minit mesyuarat MKT. Tetapi rasanya agenda sebagaimana yang awak (media) tahulah (status kerjasama dengan Bersatu).

"Mengenai jumlah ahli MKT yang hadir, Insya-ALLAH kesemuanya akan bersama-sama (dalam mesyuarat berkenaan). Kita doakan satu keputusan yang baik dapat dicapai," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan UMNO telah membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat MKT bagi memutuskan sama ada mereka akan meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.

Seorang ahli MKT ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima notis panggilan mesyuarat itu yang dijadualkan berlangsung di Akademi UMNO Janda Baik, Pahang pada Jumaat malam, selepas waktu Maghrib.

Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian, UMNO mahu MKT, sebagai badan kerja tertinggi parti membuat keputusan ini kerana usul yang dibawa oleh persidangan perwakilan bahagian yang selesai bersidang tahun lalu tidak dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ekoran perintah darurat.

Artikel Berkaitan:

Menurut Perlembagaan UMNO, jika PAU tidak dapat bersidang untuk membahas dan meluluskan sebarang usul yang diputuskan oleh persidangan perwakilan bahagian maka badan tertinggi yang boleh membuat sebarang keputusan melibatkan hala tuju parti adalah MKT.

PAU 2020 yang sudah pun tertangguh akibat pandemik Covid-19, sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari lalu namun sekali lagi ditunda kerana perintah proklamasi darurat serta PKP.

Selain teka-teka status kerjasama UMNO dengan Bersatu, tumpuan rakyat juga terarah kepada persoalan sama ada Pas mahu terus bersama parti itu dalam memperkasakan Muafakat Nasional (MN).

Hal ini berikutan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Muhamad Khir Toyo mendakwa koalisi MN membabitkan Pas dan UMNO kini di ambang perceraian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!