Sukar pertahan MN, jika Pas terus main tarik tali: Mat Taib

Muhammad Muhd Taib
Muhammad Muhd Taib
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO perlu bersiap sedia untuk bergerak bersendirian bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya Pas berterusan bermain tarik tali dalam memuktamadkan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, beliau melihat Pas sukar memberikan komitmen menjayakan koalisi MN yang turut disertai UMNO kerana parti itu lebih memikirkan kepentingan semasa berbanding kepentingan masa hadapan.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin Pas sebenarnya menyedari manfaat besar yang akan tercapai sekiranya koalisi MN dijayakan, namun mereka seolah-olah tidak memikirkan kepentingan jangka masa panjang iaitu PRU15.

"Daripada awal, Pas dapat melihat kejayaan dicapai MN termasuk menang beberapa pilihan raya kecil (PRK) berturut-turut.

"Kalau Pas-UMNO memuktamadkan kerjasama politik, gabungan MN akan membentuk pakatan bersama paling kuat dalam sejarah.

"Bagi saya, situasi Pas dalam MN diibaratkan 'kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak seribu dalih'," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Muhamad Khir Toyo yang mendakwa koalisi MN kini di ambang 'perceraian'.

Terkini, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa Pas menyatakan pendirian sama ada mahu terus bersama MN atau Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Muhammad yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, di sebalik kesukaran Pas memuktamadkan kerjasama dengan UMNO, beliau berpandangan pucuk kepimpinan UMNO masih beranggapan MN wujud.

Menurutnya, UMNO masih menunggu jawapan Pas sehingga tibanya PRU15 kerana parti itu sedar koalisi MN adalah satu kekuatan besar yang harus direalisasikan.

"Dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya, pemimpin Pas sendiri pun tahu formula terbaik mengenainya.

"Mereka tahu antara UMNO dan PN, siapa yang lebih kuat, mempunyai akar umbi dan jentera kukuh.

"Saya nasihatkan Pas jangan benda senang hendak dijadikan susah kerana yang rugi nanti adalah parti-parti Melayu sendiri," katanya.

Hubungan UMNO dan Pas dalam koalisi Muafakat Nasional (MN) didakwa semakin rapuh susulan Pas dilihat lebih cenderung bersama Perikatan Nasional (PN).
Hubungan UMNO dan Pas dalam koalisi Muafakat Nasional (MN) didakwa semakin rapuh susulan Pas dilihat lebih cenderung bersama Perikatan Nasional (PN).


Antara keputusan PRK dimenangi gabungan BN-Pas


PRK Parlimen Cameron Highlands

Ramli Mohd Nor (BN) 12,038

Manogaran Marimuthu (PH-DAP) 8,800

Salehuddin Haji Abdul Talib (Bebas) 314

Wong Seng Yee (Bebas) 276

PRK DUN Semenyih

Zakaria Hanafi (BN) 19,780

Muhammad Aiman Zainali (PH-Bersatu) 17,866

Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) 847

Kuan Chee Heng (Bebas) 725

PRK DUN Rantau

Mohamad Haji Hasan (BN) 10,397

Dr Streram Sinnasamy (PH-PKR) 5,887

Malar Rajaram (83)

Mohd Nor Yassin (79)

PRK Parlimen Tanjong Piai

Dato' Wee Jeck Seng (BN-MCA) 25,486

Karmaine Sardini (PH-Bersatu) 10,380

Wendy Subramaniam (Gerakan) 1,707

Prof Dato Ir Hj Badrulamin (Berjasa) 850

Ang Chuan Lock (Bebas) 380

Farah Aryani (Bebas) 32

PRK Kimanis

Datuk Mohamad Alamin (BN) 12,706

Datuk Karim Bujang (Warisan) 10,677

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!