'Hang nak lari mana?'

Kon dan lampu yang pecah selepas dilanggar kereta suspek.
Kon dan lampu yang pecah selepas dilanggar kereta suspek.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Cubaan seorang pemandu di bawah pengaruh dadah melarikan diri daripada pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kampung Selamat di sini, gagal selepas dia ditahan polis pada pagi, Jumaat.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga dari arah Padang Serai, Kedah dikatakan memecut kenderaannya selepas diarah berhenti untuk pemeriksaan.

Namun usahanya ternyata sia-sia selepas dia ditahan oleh polis yang mengejarnya sejauh 3 kilometer di Jalan Kubang Menerong di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang berusia 21 tahun itu bukan sahaja memandu secara melulu malah perbuatannya juga membahayakan anggota SJR dan pengguna jalan raya lain.

"Ketika dia cuba melarikan diri, suspek melanggar kon dan lampu sekatan jalan raya sehingga pecah.

"Selain di bawah pengaruh dadah, suspek juga gagal menunjukkan surat kebenaran merentas negeri berikutan dia datang dari arah Padang Serai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan dia turut dikenakan kompaun kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana merentas negeri tanpa kebenaran.

Katanya, suspek kini ditahan reman dan akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!