Bekas tonggak Celta Vigo perkuat Sabah FC
SABAH FC bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua pemain import dari Afrika dan Eropah bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) dalam laman Facebook memaklumkan pemain kebangsaan Gabon, Levy Clement Madinda, 28, dan Risto Mitrevski, 29, dari Macedonia Utara menjadi pilihan pengurusan bagi memperkukuh Sabah FC.
Madinda, pemain tengah skuad kebangsaan Gabon banyak mengukir nama di Eropah menerusi kelab Sepanyol yang bermain dalam La Liga.
Dia beraksi selama tujuh tahun bersama Celta Vigo sebelum berhijrah ke Yunani selama setahun dan seterusnya ke Turki dari 2018 hingga tahun lepas.
“Setelah bermain di Eropah, kini tiba masanya Madinda melakukan perjalanan jauh ke Asia Tenggara untuk bergabung dengan Sabah FC,” menurut kenyataan itu.
Mitrevski yang juga seorang pemain pertahanan, memulakan karier sebagai pemain kelab di negaranya - FK Rabotnichki ketika berumur 13 hingga 18 tahun sebelum diserap dalam pasukan utama kelab berkenaan pada 2009 hingga 2011.
Dia kemudiannya beralih ke pasukan Metalburg Skopje yang beraksi dalam liga tertinggi di Macedonia Utara sebelum melebarkan sayapnya dengan mewakili pasukan di Eropah lain seperti Bosnia, Crotia, Cyprus dan Armenia antara 2014 hingga 2020.
Sementara itu, Sabah FC mengekalkan pemain pertahanan dari Korea Selatan yang beraksi bersama pasukan The Rhino sejak 2019, Park Taesu serta telah menandatangani pemain sayap kebangsaan Indonesia Saddil Ramdani.
Menurut kenyataan itu, Sabah FC akan mengumumkan seorang lagi pemain import untuk mengisi jentera serangan esok.
“Jumlah pemain pasukan Sabah FC untuk musim 2021 ini, 70 peratus daripadanya adalah anak jati Sabah,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!