‘Rasuah lebih bahaya daripada Covid-19’
SHAH ALAM - Isu rasuah di negara ini mesti diperangi kerana wabak rasuah adalah lebih bahaya daripada Covid-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, Malaysia masih bertuah kerana di sebalik masalah rasuah, negara masih dapat bergerak ke hadapan dengan kejayaan dalam pelbagai bidang yang boleh dibanggakan.
“Sekiranya masalah rasuah ini dapat diselesaikan maka sudah tentu kejayaan yang jauh lebih besar dapat dinikmati oleh semua rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, rasuah berlaku dalam hampir semua bidang termasuk dalam bidang yang dianggap mulia atau tinggi contohnya keagamaan dan ia berlaku di semua lapisan.
“Rasuah dilakukan dengan pelbagai cara antaranya komisen (peratusan daripada jumlah sesuatu projek) diberi kepada orang yang membuat keputusan atau orang yang menyediakan laporan untuk keputusan tersebut atau orang yang menjadi broker kepada proses membuat keputusan.
“Ada waktunya komisen itu dianggap hadiah. Rasuah diberi dalam beberapa bentuk. Contohnya, wang tunai dimasukkan ke dalam akaun tertentu, aset (rumah, kereta, perabot, peralatan dan sebagainya), pakaian, percutian, tajaan kenduri, keahlian kelab golf dan lain-lain.
“Ada waktunya ia diberi sebagai sumbangan kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) ditentukan oleh orang yang membuat keputusan. Adakalanya NGO itu tidak lebih daripada sekadar front untuk perkara lain, contohnya peribadi atau parti politik,” katanya.
Saifuddin mendedahkan bahawa tahap sebenar rasuah yang berlaku di negara ini adalah sukar untuk ditentukan.
Beliau berkata, ini kerana banyak yang tidak dilaporkan tetapi bagi yang terlibat sama ada memberi atau menerima, mereka tahu rasuah berleluasa dan yang membezakannya mungkin amaunnya sahaja.
Menurutnya, rasuah yang paling serius ialah yang berlaku dalam politik.
“Di sini, rasuah digunakan untuk mendapatkan kuasa. Lepas itu, kuasa digunakan untuk rasuah agar mendapat kuasa lebih besar.
“Kuasa lebih besar digunakan pula untuk rasuah lagi supaya dapat kuasa yang lebih besar. Jadi, ia menjadi putaran jahat yang amat merosakkan.
“Kerosakan atau kereputan akibat rasuah adalah besar tetapi tidak semua orang melihatnya sebagai masalah. Ada yang melihatnya sebagai perkara biasa atau tidak dapat dielak,” katanya.
Katanya, ada yang merasakan rasuah mustahil dihapuskan ketika ada pula yang hidup senang kerana kewujudannya dan apabila ada pihak bangkit memerangi rasuah maka dia pula dilihat sebagai masalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!