Peroleh 9A dalam percubaan SPM
PASIR GUDANG - Seorang calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai di sini membuktikan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) mampu memperoleh keputusan cemerlang.
Muhammad Azri Shah Azian, 18, dari Bandar Bistari Perdana memperoleh keputusan 9A dalam 10 mata pelajaran diambilnya menerusi peperiksaan percubaan SPM 2020 di SMK Taman Nusa Damai baru-baru ini.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kekangan tidak dapat belajar seperti biasa di sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah menghalangnya untuk berusaha dan berjaya.
"Walaupun SPM sudah ditangguhkan dua kali saya tetap sabar dan bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM 2020. Kaedah PdPR tidak pernah dijadikan alasan untuk saya tidak dapat tumpu kepada pelajaran.
"Saya menggunakan semua kemudahan yang ada seperti peranti telefon bimbit, tablet dan komputer bagi mengikuti pengajaran guru dengan capaian internet di rumah, selain memberi sepenuh tumpuan," katanya ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Katanya, kejayaan itu hasil usaha guru dan pembelajaran yang dirancang di rumah seperti menetapkan ulang kaji mata pelajaran bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari semasa PdPR.
Selain itu, dia menggunakan segala kemudahan disediakan keluarganya bagi menyiapkan bahan tugasan yang diberikan guru-guru bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam.
Dia yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi dan sains juga tidak melupakan solat hajat bersama-sama keluarga secara berjemaah dan kerap berdoa selepas berusaha dalam pelajaran.
Namun untuk tidak terlalu mengongkong diri supaya sentiasa fokus dalam pelajaran, dia meluangkan masa mendengar lagu-lagu pop berbahasa Inggeris dinyanyikan artis antarabangsa bagi menghilangkan tekanan selain memenuhi minatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!