Sukan SEA 2021: Drama PSM menjadi
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang membuat keputusan untuk tidak hanya menghantar atlet bawah usia 23 tahun bertanding pada Sukan SEA 2021 di Vietnam hujung tahun ini.
Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, PSM kini bersedia untuk menuruti keputusan MOM yang mahu menggandingkan atlet muda dan berpengalaman beraksi di Hanoi nanti.
“Saya yakin apa yang saya buat (pada sidang media Selasa lalu) itu diambil kira sebelum MOM buat keputusan. Saya risau kalau saya tak buat, mungkin orang tak faham... orang kata saya sengaja jump the gun.
“Tetapi kalau saya tak buat sidang media pada hari itu (Selasa), saya bimbang keputusan (Jawatankuasa Pemilihan MOM) nanti akan menjurus kepada berkehendakkan untuk menghantar atlet bawah 23 tahun sahaja.
“Jadi kami ingin mengucapkan terima kasih kepada (Presiden MOM) Tan Sri Norza Zakari dan (Ketua Pengarah MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail kerana mereka antara pemimpin contoh yang perlu diteladani, berjiwa besar, prihatin dan mendengar rintihan persatuan di bawah mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ahmad menerusi sidang media yang diadakan pada Selasa lalu telah membantah cadangan MOM yang hanya mahu menghantar atlet berusia bawah 23 tahun beraksi pada Sukan SEA kali ini.
Pada Khamis lalu, MOM mengumumkan akan menghantar satu kontinjen terdiri daripada atlet muda dan mereka yang berpengalaman ke Hanoi dan komposisinya akan bergantung kepada situasi unik setiap sukan dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing.
Mengulas lanjut, Ahmad Ismail bersedia pada bila-bila masa untuk mengadakan perbincangan dengan MOM untuk memilih barisan pemain bagi menggalas cabaran skuad sepak takraw negara pada Sukan SEA nanti.
“Sebenarnya kami dah ada pelan A, B, C dan D yang sudah disediakan. Dengan keputusan MOM ini, saya yakin kami akan menggunakan pelan A iaitu separuh atlet muda dan separuh pemain berpengalaman.
“Insya-ALLAH kami akan menyediakan juga pemain muda itu dengan pendedahan sebelum temasya bermula untuk memastikan mereka bersedia menghadapi Sukan SEA itu nanti,” jelasnya.
Sebaik tamat Sukan SEA 2019 di Filipina, MOM telah mencadangkan untuk menghantar atlet muda pada edisi di Hanoi bagi memberikan pendedahan dan pengalaman untuk mereka memulakan karier masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!