Pagar lokasi mesyuarat MKT UMNO dikunci selepas tiga jam berjalan
BENTONG - Selepas tiga jam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU) di Janda Baik di sini, tiada kenderaan membawa pemimpin parti itu dilihat meninggalkan bangunan tersebut.
Pagar pintu utama pusat latihan itu juga ditutup oleh pengawal keselamatan pada jam 11.30 malam tadi sebaik menerima arahan untuk berbuat demikian.
Tidak dapat dipastikan sama ada mesyuarat berkenaan telah selesai ataupun kesemua ahli MKT UMNO menginap di lokasi tersebut untuk malam ini.
Setakat jam 12 tengah malam, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mana-mana ahli MKT atau parti itu.
Ahli MKT UMNO menghadiri persidangan peringkat tertinggi itu bermula jam 9 malam tadi dan difahamkan bagi membincangkan hala tuju kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut sumber terdekat MKT UMNO, persidangan itu dihadiri sebahagian besar daripada keseluruhan 50 ahli MKT termasuk Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan UMNO telah membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat MKT bagi memutuskan sama ada mereka akan meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat MKT UMNO sah bersidang malam ini
Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian, UMNO mahu MKT, sebagai badan kerja tertinggi parti membuat keputusan ini kerana usul yang dibawa oleh persidangan perwakilan bahagian yang selesai bersidang tahun lalu tidak dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ekoran perintah darurat.
Menurut Perlembagaan UMNO, jika PAU tidak dapat bersidang untuk membahas dan meluluskan sebarang usul yang diputuskan oleh persidangan perwakilan bahagian maka badan tertinggi yang boleh membuat sebarang keputusan melibatkan hala tuju parti adalah MKT.
PAU 2020 yang sudah pun tertangguh akibat pandemik Covid-19, sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari lalu namun sekali lagi ditunda kerana perintah proklamasi darurat serta PKP.
Selain teka-teki status kerjasama UMNO dengan Bersatu, tumpuan rakyat juga terarah kepada persoalan sama ada Pas mahu terus bersama parti itu dalam memperkasakan Muafakat Nasional (MN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!