KPM perlu hentikan keputusan 'flip flop'

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menghentikan keputusan secara sela-menyela atau 'flip flop' berhubung pembukaan dan penutupan sekolah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan itu sangat menyusahkan pelajar, ibu bapa dan guru-guru.

"Kebanyakan ibu bapa telah bergolok bergadai untuk membelikan pelbagai peranti digital bagi pembelajaran secara online.

"Semua ini sangat membebankan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga yang besar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, kerajaan pula baru sahaja melancarkan DidikTV bagi maksud menjayakan mod pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan tentang ke mana hala tuju sebenar mod pendidikan digital KPM.

"KPM wajar memperkasakan pembelajaran digital sementara negara pulih sepenuhnya daripada wabak covid-19 ini.

"Mengambil kira segala kemungkinan dan kemampuan kita menangani dampak wabak ini sebelum membuat keputusan membuka semula sekolah adalah sangat mustahak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pendidikan anak-anak adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan menjadi kucar kacir dengan keputusan secara sela menyela sebegini.

Pada Jumaat, Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah di bawah KPM bagi sesi pembelajaran bersemuka akan dibuka bermula secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

Katanya, murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan kembali ke sekolah pada tarikh tersebut, manakala bagi murid sekolah rendah Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam pula akan bermula pada 8 Mac ini.

"Pelajar sekolah menengah akan mula kembali ke sekolah pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu. Bagi pelajar sekolah menengah Kumpulan B, ia akan bermula pada 5 April,” katanya.

Beliau berkata, Kumpulan B terdiri daripada sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!