Henderson terus kawal gawang United
PENJAGA gol Manchester United, Dean Henderson terus menjadi pilihan Ole Gunnar Solskjaer untuk beraksi dalam kesebelasan utama berdepan Newcastle di Old Trafford pada awal pagi Isnin nanti.
Menurut Solksjaer, Henderson menjadi pilihan utamanya untuk mengekang asakan-asakan The Magpies berikutan aksi cemerlang yang dipamerkan penjaga gol berusia 24 tahun itu setakat ini.
“Henderson sememangnya menjadi pilihan utama saya untuk diturunkan pada perlawanan ini berdasarkan kepada prestasi semasanya yang cukup meyakinkan ketika ini.
“Persembahannya juga dilihat semakin matang dari masa ke masa. Lihat saja bagaimana dia membantu menyelamatkan kita ketika berdepan West Brom baru-baru ini.
“Selain itu, dia juga dilihat memiliki teknik sepakan yang baik selain turut melakukan 'assist' kepada rakan-rakan di jentera serangan pasukan namun saya akan tetap mengadakan perjumpaan serta bercakap dahulu mengenai kesebelasan pemain yang dipilih bersama-sama pemain agar mereka tahu dan memahami percaturan saya,” katanya.
Awal pagi Khamis lalu, skuad The Red Devils itu mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Real Sociedad pada aksi Liga Europa di Stadium Juventus.
Sementara itu, Solskjaer berharap agar dua penyerangnya, Donny van de Beek dan Edinson Cavani dapat diturunkan pada aksi berdepan The Magpies.
Katanya, kedua-dua pemain berkenaan tidak beraksi pada perlawanan menentang Real Sociedad berikutan masalah kecederaan yang dialami.
“Kita juga masih kehilangan khidmat Paul Pogba dan Phil Jones untuk perlawanan ini manakala Scott McTominay pula masih bergelut dengan masalah kecederaannya sehingga terpaksa dikeluarkan pada perlawanan dengan Real Sociedad.
“Apa pun, keputusan akhir untuk kesebelasan utama pasukan akan diumumkan selepas sesi latihan pasukan dibuat hari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!