Tindakan SKMM sekat aplikasi Sugarbook tepat, wajar
SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat aplikasi Sugarbook disifatkan sebagai tindakan yang wajar.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun ia sudah disekat tetapi ia mestilah tetap dipantau agar kegiatan seperti itu tidak muncul semula.
Menurutnya, aplikasi itu membuka ruang untuk anak-anak muda dengan mudahnya terjerat dalam dunia ‘sugar daddy’ dan ia sesuatu yang sangat merunsingkan.
"Statistik yang dikeluarkan berkenaan jumlah pelajar universiti yang menggunakan aplikasi Sugarbook ini mengikut universiti adalah di tahap yang sangat membimbangkan.
"Sekiranya aplikasi ini dibiarkan tanpa sekatan, anak muda khususnya akan terhumban ke kancah gejala sosial yang sangat membimbangkan.
"Kerana mereka bukan sahaja terjerat ke lembah aktiviti tidak bermoral tetapi gaya hidup mewah hasil daripada sumber kewangan yang mudah diperoleh sedemikian akan membawa anak muda ke lembah gejala sosial dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, situasi itu akan mewujudkan keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan golongan pemuda pemudi di negara ini.
"Selaku aktivis sosial, saya ingin berterima kasih kepada pihak berkuasa atas tindakan pantas menyekat dan mengekang aktiviti ini daripada berleluasa agar tidak mendatangkan musibah terhadap keluarga, masyarakat dan negara," katanya.
Pada Jumaat, Pengasas aplikasi Sugarbook direman selama tujuh hari bermula Khamis selepas Mahkamah Tinggi membenarkan semakan permohonan yang dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin mengeluarkan perintah itu selepas usahawan berusia 34 tahun itu tidak membantah dan setuju untuk direman bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas 'Sugarbook' direman tujuh hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!