Tanah perkuburan Islam di KL mampu bertahan 15 tahun lagi
KUALA LUMPUR - Tanah perkuburan Islam (TPI) di Kuala Lumpur secara puratanya mampu menampung pengebumian jenazah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, sebahagian besar daripada 29 TPI yang terdapat di Kuala Lumpur sudah menggunakan 70 peratus daripada ruang kosong.
Beliau bagaimanapun berkata, terdapat beberapa langkah yang telah diambil bagi memastikan ia mampu menampung keperluan pengebumian jenazah pada masa akan datang.
"Kementerian Wilayah Persekutuan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 12 Januari 2015 merancang membangunkan sebuah tanah perkuburan awam bersepadu khas untuk warga Wilayah Persekutuan di atas sebuah tanah berkeluasan 134 hektar di Semenyih.
"Jawi amat mengalu-alukan cadangan tersebut yang pastinya akan memberikan lebih manfaat buat jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan pihak pemegang amanah bagi urusan berkaitan pengurusan tanah wakaf di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, Kuala Lumpur mempunyai 29 TPI yang tujuh daripadanya ialah TPI Raudatul Sakinah diuruskan Jawi, diikuti 19 oleh kariah Kuala Lumpur dan tiga di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Enam daripada tujuh TPI Raudatul Sakinah masih mempunyai banyak kekosongan dan sedia menerima jenazah tanpa terikat kepada kariah," katanya.
Buat masa ini, katanya, kadar bayaran prosedur pengurusan jenazah yang hendak dikebumikan di Kuala Lumpur adalah berdasarkan status sama ada ahli kariah atau sebaliknya.
"Warganegara yang menetap di Wilayah Persekutuan dikenakan bayaran sebanyak RM300, manakala bagi warganegara dari luar Kuala Lumpur ialah RM500.
" Bagi bukan warganegara atau Pemastautin Tetap (PR), kadar pengurusan jenazah ialah sebanyak RM700 manakala bagi kategori janin serta bayi di bawah umur tiga tahun ialah RM100," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!