76 wakil rakyat pembangkang bimbang kebebasan media dikekang
SHAH ALAM - Seramai 76 wakil rakyat dan senator daripada parti pembangkang menyatakan keprihatinan dan kegusaran kebebasan media dan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan semakin dikekang.
Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan portal berita Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu, media adalah salah satu tiang demokrasi dan kebebasan media merupakan salah satu benteng demokrasi yang sihat.
“Media yang bebas dan berani menjamin ketelusan dan wacana awam yang tidak berat sebelah serta hak bersuara pengamal media diberi perlindungan oleh undang-undang serta pihak kehakiman,” kata kenyataan itu.
Tambah mereka, pandangan kritis dan perbahasan umum berkenaan pelbagai isu, kecuali yang disekat undang-undang, tidak harus dihukum secara keterlaluan.
Menurut mereka, hukuman tersebut tidak munasabah dan tidak adil untuk mempertanggungjawab sesebuah portal berita di atas pandangan pembacanya.
“Tidak dinafikan bahawa portal berita tersebut telah memadam komen-komen yang menyinggung perasaan 12 minit selepas dibawa ke perhatian pihak pengurusan portal.
“Kerjasama penuh telah diberi untuk memadam komen-komen tersebut,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menuntut satu perbincangan segera diadakan di antara pengamal media, masyarakat sivil, agensi kerajaan, ahli-ahli Parlimen, Jabatan Peguam Negara dan pihak kehakiman untuk merangka garis panduan media yang adil dan berasaskan hak.
“Kami menyokong penuh gesaan Majlis Peguam agar digubal undang-undang khusus untuk menentukan takrif ‘penghinaan’ secara teliti, yang seterusnya akan menjadi panduan berguna untuk menegakkan hak bersuara dan kebebasan media," tambah kenyataan itu lagi.
Kenyataan tersebut turut ditandatangani oleh Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Lim Hui Ying (Senator), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Hannah Yeoh (Segambut).
ARTIKEL BERKAITAN Malaysiakini didenda RM500,000 kerana hina mahkamah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!