Dua maut nahas tiga kenderaan di Muar
JOHOR BAHRU - Dua lelaki maut, seorang cedera manakala empat lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Pasir dekat Muar pada Sabtu.
Dalam kemalangan pada jam 9.29 pagi itu, pemandu dan penumpang kenderaan Toyota Hilux iaitu berusia 68 dan 17 tahun, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan mereka.
Seorang lelaki berusia 39 tahun yang merupakan pemandu lori, cedera, manakala empat lelaki berusia antara 32 dan 66 tahun dalam kereta Proton Saga FLX terselamat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Radin Hamimah Mohammad berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, 23 anggota dengan satu jentera Light Fire Rescue Team ( LFRT) dari BBP Pagoh serta dua jentera LFRT dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) BBP Muar dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Dua mangsa itu disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa yang maut dan pemandu lori yang cedera itu dibawa ke Hospital Sultanah Fatimah Muar untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan nahas jalan raya itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!