Kerajaan saran buka lebih banyak taska OKU
MELAKA - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi swasta disarankan supaya memanfaatkan geran sebanyak RM1.7 juta yang disediakan kerajaan bagi mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) bagi anak-anak orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dengan wujudnya taska itu, ia dapat menjaga, melindungi dan membela anak-anak istimewa seawal usia dua hingga empat tahun.
Beliau berkata, pelbagai kaedah advokasi serta intervensi awal boleh digunakan untuk menggilap keyakinan diri golongan berkenaan, sekali gus membolehkannya berdikari menerusi pelbagai teknik yang disediakan guru-guru pakar.
"Kerajaan sentiasa memberi sokongan terhadap penubuhan taska OKU termasuk menyediakan pelbagai bantuan seperti geran, operasi dan sebagainya.
"Jika di rumah mungkin anak-anak OKU tidak dapat bentuk pembelajaran sebegini yang saya lihat sangat baik untuk membina keyakinan diri kerana pelbagai teknik telah disediakan oleh guru-guru pakar," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Taska OKU Insan Berkeperluan Khas (Ikhlas) di Yayasan Toh Puan Zurina, Pantai Peringkat di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Latipah Omar dan Penaung Persatuan Ikhlas, Profesor Datuk Dr Yasmin Hussain.
Sementara itu, Rina berkata, sebanyak 13 taska OKU telah diwujudkan di negara ini menerusi peruntukan sebanyak RM3.14 juta termasuk Taska OKU Ikhlas yang merupakan taska OKU pertama di Melaka.
Menurutnya, ibu bapa juga tidak perlu berasa rendah diri apabila anak-anak mereka diberikan kad OKU dan sewajarnya menjadikan kemudahan itu sebagai pemangkin semangat.
"Anak anugerah Tuhan dan kita perlu sayangi walau apa jua keadaannya. Anggaplah bantuan yang diberikan kerajaan sebagai kebaikan untuk kebajikan anak istimewa mereka pada masa akan datang," katanya.
Pada program itu, Rina turut menyampaikan sumbangan Bantuan Geran Pelancaran berjumlah RM500,000 kepada Taska OKU Ikhlas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!