Bina segera Klinik Kesihatan Manjoi

Klinik Kesihatan Manjoi beroperasi dengan menumpang di Dewan Serbanguna berhampiran. (Gambar kecil: Abdul Salim)
Klinik Kesihatan Manjoi beroperasi dengan menumpang di Dewan Serbanguna berhampiran. (Gambar kecil: Abdul Salim)
A
A
A

IPOH - Penduduk di sini menggesa kerajaan supaya segera membina Klinik Kesihatan Manjoi yang baharu bagi menggantikan klinik sementara yang 'menumpang' di Dewan Serbaguna Kampung Manjoi, Jalan Teh Fatimah.

Abdul Salim Mohd Salleh, 47 berkata, dia berasa kecewa apabila tiada sebarang kemajuan daripada pembinaan bangunan empat tingkat itu sejak beberapa tahun lalu.

“Pembinaan klinik jenis tiga itu masih tergendala sehingga kini meskipun majlis pecah tanah tapak projek dilaksanakan pada 5 Mei 2018.

“Penduduk kini perlu mendapatkan rawatan di klinik yang diketahui masih kurang fasiliti. Disebabkan pandemik Covid-19, mereka yang ada temu janji boleh dapatkan rawatan dan untuk ke hospital pula memang jauh.

“Alternatif lain adalah mendapatkan rawatan di klinik swasta di Manjoi, Silibin dan Jelapang,” katanya.

Menurutnya, pembinaan yang sepatutnya sudah siap tahun lalu dikatakan menjadi klinik yang dilengkapi peralatan terkini dan canggih serta lebih selesa.

“Malah, bangunan itu dicanang akan menjadi mercu tanda baharu pembangunan kerajaan di kawasan itu.

“Kami mengharapkan kerajaan dapat memberi perhatian terhadap projek terbengkalai itu. Kita sedia maklum dewan serbaguna yang dijadikan klinik kini tidak sesuai tambahan Gugusan Manjoi mempunyai penduduk lebih 45,000 orang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian mendapati tiada sebarang kerja-kerja pembinaan dilakukan dan kawasan tapak projek seolah-olah terbiar.

Tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi kelihatan terbiar tanpa ada sebarang kerja-kerja menyiapkan bangunan.
Tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi kelihatan terbiar tanpa ada sebarang kerja-kerja menyiapkan bangunan.

Projek pembangunan yang bernilai RM25 juta itu diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2016.

Perkhidmatan bakal disediakan termasuklah klinik pesakit luar dan kecemasan, klinik ibu dan kanak-kanak, kesihatan pergigian, pengimejan (x-ray) dan perkhidmatan farmasi, rehabilitasi serta makmal patologi.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin menerusi Facebooknya memaklumkan, pihaknya bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengadakan lawatan sambil mendapatkan maklum balas mengenai bangunan yang masih tergendala pembinaannya.

“Kami diberi penerangan berkenaan kronologi pembinaan Klinik ini dan beberapa permasalahan semasa yang sedang dihadapi.

“Buat masa ini, klinik ini menumpang di dewan dengan prasarana yang serba kekurangan. Kami komited untuk menyelesaikan isu ini dalam masa yang dijadualkan,” katanya.

Katanya, beberapa penambahan baharu dibuat pada struktur bangunan dengan mengambil kira ruang khas bagi pesakit Covid-19 dan sebagainya.

“Kami juga sedang mengusahakan untuk mendapatkan sebidang tanah bersebelahan untuk dijadikan dataran parkir klinik yang bakal dibina ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!