Terselamat undi tidak percaya

Prayut terselamat undi tidak percaya buat kali kedua sejak mengambil alih jawatan pada 2019. - Foto Agensi
Prayut terselamat undi tidak percaya buat kali kedua sejak mengambil alih jawatan pada 2019. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dan sembilan menteri lain terselamat daripada undi tidak percaya di Parlimen pada Sabtu selepas sesi perbahasan sengit berlangsung selama empat hari.

Keputusan sudah dijangka menunjukkan usul undi tidak percaya itu ditolak 272 undi manakala 206 menyokong.

"Ia jelas menunjukkan ahli Parlimen masih mempunyai keyakinan terhadap mereka," kata Speaker Dewan Perwakilan, Chuan Leekpai.

Sehingga kini, Prayut masih bernasib baik selepas terselamat undi tidak percaya buat kali kedua sejak mengambil alih jawatan pada 2019 walaupun berdepan desakan gerakan prodemokrasi supaya berundur.

Ia membolehkan kerajaan pimpinan beliau meneruskan usaha untuk mengurangkan impak jangkitan gelombang kedua yang memberi kesan kepada usaha memulihkan semula ekonomi negara tersebut.

Ketika sesi perdebatan di Parlimen, pihak pembangkang turut menyelar tindakan perlahan kerajaan melancarkan program vaksinasi dan menggerakkan dasar ekonomi.

Pentadbiran Prayut juga dikritik selepas didakwa menyalahgunakan kuasa untuk menaikkan pangkat anggota polis dan menubuhkan unit siber untuk menyerang pengkritik kerajaan di media sosial.

Bagaimanapun, tuduhan paling serius adalah Prayut dikatakan memburukkan lagi perpecahan dalam masyarakat dengan menggunakan undang-undang lese majeste sebagai 'pelindung' terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan pimpinan beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, lebih 50 aktivis termasuk empat pemimpin gerakan prodemokrasi didakwa di bawah undang-undang kontroversi tersebut sejak siri protes antikerajaan dilancarkan pada pertengahan Julai 2020.

Pada Jumaat, ratusan penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di jalan utama di hadapan bangunan Parlimen.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan keselamatan turut mengerahkan lebih 10,000 anggota di Bangkok pada akhir minggu ini untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam selepas protes dijangka tercetus sebagai membantah keputusan yang mengekalkan kerajaan Prayut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!