Hilang ketika memancing di sungai

Operasi mencari mangsa dijalankan oleh pasukan bomba di lokasi kejadian di Sungai Muda, Pinang Tunggal, Kepala Batas.
Operasi mencari mangsa dijalankan oleh pasukan bomba di lokasi kejadian di Sungai Muda, Pinang Tunggal, Kepala Batas.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing seorang diri di Sungai Muda, Pinang Tunggal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa Md Johari Mat Isa, 40, dari Kampung Ekor Kucing dikatakan telah keluar dari rumahnya pada jam 8 pagi Jumaat dan tidak pulang sehingga Sabtu.

Menurutnya, daripada laporan yang dibuat bapa mangsa pada jam 1 tengah hari, isteri mangsa memaklumkan bahawa suaminya keluar dari rumah dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 untuk memancing di sungai berhampiran.

"Bapa mangsa bertindak ke sungai tersebut dan mendapati motosikal dan barang peribadi anaknya berada di tebing sungai. Dia juga ternampak bot fiber mangsa berada di tengah sungai namun tiada kelibat mangsa.

"Bapanya cuba memanggil nama mangsa berkali-kali namun tiada jawapan. Lelaki tersebut kemudiannya membuat laporan polis selepas mengesyaki anaknya telah terjatuh ke dalam sungai dan hilang," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Bot fiber yang dipercayai dinaiki mangsa didapati berada di tengah sungai namun kelibat mangsa tidak kelihatan.
Bot fiber yang dipercayai dinaiki mangsa didapati berada di tengah sungai namun kelibat mangsa tidak kelihatan.

Noorzainy berkata, susulan laporan itu, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat melancarkan operasi mencari mangsa di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam, Khairul Affandi Arifin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang lalu bergegas ke lokasi untuk operasi pencarian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya turut mendapat bantuan daripada BBP Kepala Batas, Bandar Perda dan Kulim Hi-Tech.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat dengan kaedah 'surface searching' di sekitar kawasan mangsa dipercayai terjatuh dilakukan oleh pasukan bomba dan penduduk setempat.

"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba berada di lokasi kejadian selain Pos Kawalan Bomba juga dibuka," katanya ketika dihubungi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!