Buka sekolah: Ibu bapa mahu SOP lebih ketat

Mohd Shukri Baba, Mohd Saufi Md Salleh
Mohd Shukri Baba, Mohd Saufi Md Salleh
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Golongan ibu bapa mahukan jaminan keselamatan yang lebih baik termasuk prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat susulan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 1 Mac depan.

Walaupun gembira dengan pengumuman itu, namun rata-rata mereka masih khuatir akan keselamatan anak-anak di sekolah terutama melibatkan murid sekolah rendah.

Mohd Saufi Md Salleh, 35, berkata, sebagai bapa, dia menyambut baik apabila kerajaan mengumumkan sekolah kembali dibuka.

"Bagi saya, pembelajaran secara bersemuka lebih baik dan berkesan berbanding kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Tapi dengan jumlah kes Covid-19 yang tinggi, sudah tentu timbul kebimbangan dan persoalan bagaimana sekolah dapat memastikan langkah-langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan baik dan ketat.

“Anak saya yang belajar di Darjah Tiga sering kali diingatkan memakai pelitup muka dan menjaga jarak. Tapi apabila di sekolah, dia berjumpa dengan kawan-kawan dan sebagainya, saya bimbang jika aspek kawalan tidak dilakukan sebaiknya,” katanya.

Bagi Mohd Shukri Baba, 50, pula, dia berkata, pihak sekolah dan jabatan pendidikan perlu memainkan peranan penting dan bersedia sepenuhnya untuk menerima murid dan pelajar ke sekolah.

Menurutnya, sekiranya tiada kawalan dan SOP yang ketat, ibu bapa sudah tentu berasa bimbang dengan keselamatan anak masing-masing.

“Saya mempunyai dua anak yang bersekolah dalam Darjah Empat dan Tingkatan Empat. Memang diakui walaupun menjalani PdPR di rumah, saya rasakan belajar secara bersemuka lebih baik dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Cuma kita minta pihak berkaitan menyediakan garis panduan yang jelas agar semua pihak termasuk ibu bapa rasa terjamin untuk menghantar anak-anak ke sekolah kembali,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!