Pemandu seret anjing dengan pacuan empat roda dicekup
TAIPING - Seorang pemilik anjing dicekup polis setelah didakwa mengikat seekor anjing pada kenderaannya sebelum menyeret haiwan itu di sepanjang perjalanan dalam kejadian di Jalan Kota, di sini Ahad malam lalu.
Kejadian itu kemudiannya menjadi tular dalam laman media sosial susulan terdapat rakaman video dibuat oleh salah seorang saksi kejadian sebelum satu laporan polis dibuat seorang pengadu di Balai Polis Pokok Assam, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada 3.45 petang semalam apabila pengadu menerima satu rakaman video menerusi laman sosial WeChat daripada rakannya sewaktu berada di hadapan sebuah restoran makanan segera terkemuka di Simpang, semalam.
Menurutnya, dalam rakaman video itu, pengadu menyaksikan terdapat seorang pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax bertindak mengikat seekor anjing pada kenderaannya.
"Rakaman video itu turut menyaksikan kenderaan itu bertindak menyeret anjing terbabit sepanjang perjalanannya ke suatu lokasi.
"Susulan itu, pengadu berasa tidak puas hati dengan tindakan pemilik kenderaan berkenaan dan membuat laporan polis semalam kerana menganggap tindakan itu tidak berhati perut kerana mengheret anjing itu tanpa belas kasihan," katanya kepada media di sini hari ini.
Razlam berkata, polis membuat semakan ke atas kenderaan itu dan siasatan ke atas pemiliknya mendapati kenderaan itu dipandu bapaya yang berusia 58 tahun pada malam kejadian iaitu 10 Februari lalu.
"Susulan itu, suspek lelaki berkenan ditangkap di rumahnya semalam.
"Siasatan lanjut ke atas suspek mendapati anjing itu dipeliharanya lebih dari setahun.
"Sewaktu kejadian, suspek memaklumkn hendak membuang anjing itu kerana haiwan itu kerap kali mengigit wayar di rumahnya," katanya.
Razlam berkata, siasatan awal ke atas suspek turut mendapati anjing itu diletakkan di bahagian belakang kenderaan sewaktu hendak dibuang.
"Namun, suspek menegaskan tidak sedar anjing itu terjatuh daripada kenderaan dan menyebabkan diseret di sepanjang perjalanan.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!