Dua lagi penunjuk perasaan Myanmar maut
MANDALAY - Sekurang-kurangnya dua maut manakala kira-kira 30 yang lain cedera selepas polis Myanmar melepaskan tembakan peluru hidup terhadap kumpulan protes ketika serbuan di sebuah limbungan kapal Yadanarbon di Mandalay pada Sabtu.
Insiden di bandar kedua terbesar itu bertukar ganas selepas penunjuk perasaan mula bertindak luar kawalan dan turut mengetuk kuali serta periuk sebagai cubaan untuk mengusir pihak berkuasa.
Difahamkan, pertempuran itu tercetus selepas mereka bimbang jika anggota polis menahan pekerja yang menyertai gerakan antirampasan kuasa tersebut.
Sebuah rakaman secara langsung yang dikongsi di Facebook oleh saksi menunjukkan keadaan huru-hara dengan bunyi tembakan dilepaskan secara berterusan.
"Mereka menembak secara melulu tanpa perikemanusiaan. Kami terpaksa mencari tempat yang selamat," kata seorang individu yang mendapatkan perlindungan di sebuah tapak pembinaan.
Protes yang telah berlarutan selama dua minggu menyaksikan pihak berkuasa di beberapa bandar mula menggunakan tindakan kekerasan termasuk menggunakan meriam air dan tembakan peluru getah terhadap penunjuk perasaan.
Pada Jumaat, pasukan keselamatan Myanmar dikecam banyak pihak susulan kematian seorang peserta protes yang cedera pada kepala akibat ditembak dengan peluru hidup ketika menyertai demonstrasi di Naypyidaw pada 9 Februari lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!