KDN jawab tuduhan pegawai kanan PDRM ke Turki
SEMENYIH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjawab persoalan sekaligus menafikan tuduhan liar berhubung kunjungan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama pegawainya ke Turki.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kunjungan Mohamad Fuzi dan pegawainya ke Turki telah mendapat kebenarannya.
Menurutnya, malah pemergian mereka telah ditaja Lembaga Totalisator Malaysia yang juga merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.
"Mana-mana pegawai serta anggota atau pasukan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hendak pergi ke mana-mana perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu dan saya telah dimaklumkan perkara itu.
"Ini bukanlah pertama kali dan saya telah luluskan, macam juga lawatan ke tempat lain," katanya selepas Program Lawatan Kerja di Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, di sini, hari ini.
Mengulas apakah tujuan kunjungan tersebut, Muhyiddin berkata, kunjungan itu sebagai pendedahan kepada pegawai PDRM dalam mempelajari bagaimana inisiatif dan kaedah bagi membanteras judi haram dari negara lain.
Katanya, isu judi online adalah satu isu yang besar dan taklimat dari negara lain adalah penting untuk perkongsian maklumat.
Terdahulu, portal Sarawak Report melaporkan Mohamad Fuzi dan pegawainya menginap di Hotel Sura Hagia Sophia bertaraf empat bintang di Sultanahmet di Istanbul. Sarawak Report melaporkan kadar sewa hujung minggu di hotel berkenaan dianggarkan RM685 semalam, berdasarkan sebut harga di laman web booking.com.
Sarawak Report juga mendakwa kos penerbangan pergi balik mereka keseluruhannya dianggarkan lebih RM250,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!