Video murtad: Biar polis jalankan siasatan, kata Jakim

Tular video memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.
Tular video memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta orang ramai menyerahkan siasatan isu video seorang lelaki bukan Islam yang dikatakan memurtadkan seorang wanita Islam kepada pihak polis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya difahamkan isu berkenaan sudah pun dalam perhatian dan tindakan polis selepas menerima aduan dari pelbagai pihak.

Menurut beliau, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sedang berkuat kuasa di beberapa negeri terhadap mana-mana orang, termasuk orang bukan Islam, yang menghasut, memujuk, mempengaruhi atau memaksa orang Islam supaya meninggalkan agama Islam atau tidak suka kepada agama Islam.

“Selain itu, mana-mana orang Islam yang cuba untuk keluar dari agama Islam juga boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang berkuat kuasa di beberapa buah negeri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut meminta supaya seluruh umat Islam dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

“Semua pihak diingatkan supaya tidak saling menyalahi antara satu sama lain dalam isu membabitkan umat Islam sebaliknya perlu bersama-sama memperkukuhkan institusi keluarga Islam, memupuk sikap saling ambil peduli dalam masyarakat serta ingat mengingati dalam menghadapi sesuatu permasalahan.

“Jakim bersama pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain sentiasa menjalankan usaha bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama yang diberi penekanan oleh kerajaan pada masa ini.

"Jakim mengucapkan syabas dan tahniah atas keprihatinan semua pihak dalam sebarang isu membabitkan umat Islam dan pada masa sama menyokong usaha dan tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan seadil-adilnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, satu klip video dikatakan dimuat naik melalui laman YouTube memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.

Lelaki itu turut memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!