Malaysiakini, media sosial tidak sama

A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman denda RM500,000 kepada portal berita Malaysiakini tidak boleh dianggap halangan kebebasan bersuara, mahu pun menjadi rujukan kes untuk pengguna media sosial.

Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bertanggungjawab terhadap paparan penulisan yang menghina dan memfitnah sistem kehakiman negara dalam paparan komen pembaca mereka. Malaysiakini sendiri mengakui komen-komen yang dijadikan bahan bukti oleh pendakwa raya bersifat memfitnah dan tidak wajar diterbitkan.

Dalam penghujahan di mahkamah, Malaysiakini hanya menggunakan alasan mereka tiada kawalan dalam penerbitan komen-komen kerana ia memberi kebenaran secara automatik. Di sinilah Mahkamah Persekutuan telah mengambil peranan. Pengurus portal berita seperti Malaysiakini mempunyai kemampuan teknologi untuk menapis komen ditulis sebelum menerbitkannya.

Sejak penubuhannya, Malaysiakini telah mengabaikan tanggungjawab itu dengan melepas bebas setiap komen yang dibuat bagi meningkatkan populariti portal mereka. Komen pembaca dalam portal berita harus dianggap seperti surat pembaca dalam media cetak. Walaupun ia adalah komentar pembaca, namun penerbit harus bertanggungjawab kerana ia sebahagian daripada platform penerbitan mereka.

Dalam para 18 penghakiman, Mahkamah Persekutuan turut memetik keputusan The European Court of Human Right (EHtHR) dalam kes portal berita Delfi lawan kerajaan Estonia. Seramai 15 orang hakim memutuskan portal berita Delfi bertanggungjawab atas komen fitnah tanpa nama pembaca mereka.

Realitinya, penerbit portal berita tidak boleh bersembunyi di sebalik komen pembaca untuk membenarkan pelanggaran undang-undang negara dan pada masa sama mengaut keuntungan kenaikan aliran trafik pembaca.

Saya fikir gambaran bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan ke atas Malaysiakini memberi kesan sama kepada pemilik akaun media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Dalam penghakiman tersebut, Mahkamah Persekutuan telah membezakan ‘nature’ akaun media sosial dan portal berita dengan merujuk kes di India pada tahun 2020 (Prashant Bushan & Anor, Suo Motu Contempt Petition).

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan menyatakan: “Kami tidak bersetuju bahawa Malaysiakini mempunyai ciri yang serupa dengan Twitter. Malaysiakini mempunyai kawalan penuh atas apa yang boleh diterbitkan dan apa yang tidak.”

Oleh sebab nature media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram tidak mempunyai panel kawalan menapis komen sebelum diluluskan untuk paparan, maka saya tidak fikir pengguna media sosial akan dipertanggungjawabkan ke atas komen orang lain dalam catatan mereka.

Satu lagi perkara penting, Malaysia-kini didapati bersalah kerana mereka merupakan penyedia platform yang mengawal paparan komen, manakala pemilik akaun media sosial bukan pemilik platform. Platform mereka dimiliki sama ada oleh Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

Selain itu, dalam para 12 penghakiman tersebut menyatakan mereka meletakkan tanggungjawab paparan komen ke atas Malaysiakini kerana portal itu mempunyai kemampuan untuk melakukan tapisan yang sewajarnya.

Ia berbeza dengan pemilik akaun media sosial yang hanya bertindak sebagai individu dan tidak mempunyai organisasi atau berunsur komersial. Apa pun semua orang yang mahu menulis dan berkomentar harus tahu membezakan antara kritikan dan pendedahan penyelewengan dengan fitnah, hasutan kebencian dan cemuhan tanpa asas.

Lebih penting, kita perlu menulis dan membuat komen secara bertanggungjawab. Negara akan hancur jika ia dipenuhi oleh fitnah, adu domba dan hasutan.

Pemilik akaun media sosial bukan pemilik platform.

* AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!