Tinggal seorang diri selepas kematian nenek
SABAK BERNAM - Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal bersendirian selepas kematian neneknya mengakui terpaksa menempuh pelbagai cabaran berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.Muhamad Nur Firdaus Mohd Naim, 18, berkata, dia mula menetap di rumah arwah neneknya di Kampung Sungai Air Tawar sejak berusia 15 tahun.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah itu, kehilangan arwah neneknya pada Mac tahun lalu amat dirasai lebih-lebih lagi ketika dia bakal menduduki SPM.
“Memang saya rasa kehilangan orang tersayang yang selalu beri semangat untuk saya berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Muhamad Nur Firdaus berkata, meskipun sunyi tinggal bersendirian, namun dia tiada pilihan melainkan menumpukan perhatian pada sesi pembelajaran sebelum menghadapi SPM.
“Selepas kematian arwah nenek, saya menumpang sementara di rumah bapa saudara yang tinggal berhampiran sebelum mengambil keputusan untuk tinggal bersendirian di rumah arwah kerana mahu fokus kepada SPM,” katanya.
Katanya, lebih memilukan apabila tidak berkesempatan bertemu ibu dan bapanya yang menetap di Ipoh, Perak sepanjang pelaksanaan PKP 2.0.
“Biasanya ibu dan ayah ada melawat saya, tapi disebabkan PKP ini saya hanya berhubung dengan mereka melalui panggilan video.
“Sedikit sebanyak terubat juga rindu saya kepada ibu dan ayah yang sering memberi galakan kepada saya,” katanya.
Menurutnya, dia juga kerap mengajak beberapa rakannya mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan SPM.
“Mereka selalu juga datang ke rumah ini untuk sama-sama ulang kaji pelajaran, tetapi kami sering hadapi masalah capaian internet yang kurang memuaskan.
“Kadangkala hendak cari sesuatu maklumat memang susah, tambahan pula jika ada kelas Google Meet,” katanya.
Muhamad Nur Firdaus berkata, masalah capaian internet kerap berlaku di kawasan itu yang terletak di kawasan pedalaman.
“Saya sering berdepan masalah untuk mendapatkan capaian internet yang baik dan ini mengganggu sesi pembelajaran.
“Walaupun pelbagai cabaran dilalui, saya tetap bersemangat untuk mengambil SPM,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!