Saat itu akan tiba...

No Image Caption
A
A
A

BELALANG tidak pasti sama ada ini idea yang bernas atau tidak tapi nampaknya seluruh dunia sekarang sedang menuju ke arahnya.

Belalang dengar di England, pemilik kenderaan peribadi akan ditawarkan kredit sehingga £3,000 iaitu bersamaan dengan RM17,280 jika mereka bersedia menggunakan basikal, skuter elektrik atau pengangkutan awam.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah menyerahkan kenderaan mereka kepada pihak berkuasa.

Skim ini mahu diperkenalkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kereta di bandar-bandar besar bagi mengelak pencemaran.

Sasaran utama adalah kenderaan diesel yang dihasilkan sebelum tahun 2016 dan kenderaan petrol yang dikeluarkan sebelum 2006.

Di Eropah boleh dikatakan kebanyakan pengeluar kereta sudah membuat aku janji untuk hanya menghasilkan kenderaan elektrik mulai tahun 2030.

Ini sebagai persediaan untuk berhadapan dengan larangan pengeluaran kereta diesel dan petrol baru sepenuhnya mulai tahun 2040 di kebanyakan negara Eropah.

Parlimen England telah memutuskan untuk mengharamkan penjualan kenderaan diesel serta petrol pada 2030 iaitu sembilan tahun dari sekarang manakala kerajaan Perancis meluluskan undang-undang pengharaman kenderaan yang menggunakan tenaga fosil menjelang 2040.

Artikel Berkaitan:

Bila undang-undang baru ini dikuatkuasakan, pemilik kenderaan diesel dan juga petrol masih boleh menggunakan kereta mereka tetapi di pasaran tidak akan dijual lagi kereta-kereta tersebut. Hanya kenderaan baru elektrik sahaja yang dibenarkan.

Di Malaysia, masih belum kedengaran cadangan ini tetapi pasti suatu hari nanti masanya akan tiba juga.

Ini adalah situasi yang tidak dapat dielakkan. Rezab dan keluaran minyak dunia akan menguncup dan pencemaran dunia makin parah. Mahu tidak mahu Belalang lihat kebergantungan ke atas bahan fosil akan terhapus dengan sendirinya.

Malaysia sebagai negara pengeluar kereta dan negara pengeluar minyak akan turut terjejas dengan perubahan dari segi penggunaan minyak dan konsep hijau global.

Jadi suka atau tidak kita juga harus bersedia untuk berhadapan dengan cabaran baru global ini. Bersiap sedialah sebelum terlambat kerana dunia sudah pun bersedia menuju ke fasa baru mobiliti.

Belalang - Tidak perlu petrol atau diesel untuk ke sana sini sebab ada sayap

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!