DBKL tutup restoran kari kepala ikan, rumah urut
KUALA LUMPUR - Sebuah restoran kari kepala ikan di Jalan Inai melalui Jalan Imbi di sini diarah tutup selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesan terdapat dua warga asing mengendalikan perniagaan itu.
Unit Media DBKL menerusi kemas kini di Facebooknya berkata, kesalahan itu dikesan sewaktu bahagian penguatkuasaan Selatan Satu bagi kawasan Parlimen Bukit Bintang melakukan rondaan dan pemantauan Ops Covid-19 pada Sabtu.
"Pemantauan sekitar Bukit Bintang dari jam 4 petang hingga 12 malam telah mengesan satu premis restoran makanan yang dikendalikan oleh dua orang warga asing dari Myanmar dan India.
"Premis tersebut telah diambil tindakan di bawah Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," menurut kenyataan itu pada Ahad.
Katanya, pemantauan tersebut melibatkan tiga pegawai dan enam anggota.
Sebelum ini, DBKL memaklumkan akan bertindak tegas dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam industri perniagaan khususnya sektor penjajaan.
Tindakan itu bagi mengurangkan kesan dan mengawal kebanjiran warga asing dalam sektor peruncitan dan perdagangan di sekitar ibu negara.
Dalam operasi berasingan, DBKL telah menutup sebuah rumah urut yang menjalankan aktiviti pelacuran di Kepong pada Jumaat.
Menurut kenyataan di Facebook DBKL memaklumkan, berlakunya aktiviti tidak bermoral di lokasi berkenaan hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh DBKL.
"Premis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut.
"Seramai sembilan wanita tukung urut (disyaki pekerja seks) warga Vietnam dan seorang warga tempatan sebagai penjaga premis telah ditahan bagi proses dokumentasi DBKL," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, satu notis kompaun dikeluarkan di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 sementara penutupan premis mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!