Malaysia kekal polisi beri 2 dos suntikan Pfizer-BioNTech

Khairy Jamaluddin (tengah) berbincang sesuatu bersama Dr Adham (kiri) dan Ka Siong di KLIA hari ini. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (tengah) berbincang sesuatu bersama Dr Adham (kiri) dan Ka Siong di KLIA hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Malaysia kekal dengan polisi untuk memberikan dua dos suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kepada penduduk di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendirian itu diambil selari dengan saranan yang dibuat syarikat pengeluar vaksin tersebut.

"Perkembangan terbaharu yang kita baca baru-baru ini yang keluar dari sebuah negara yang telah melaksanakan program vaksinasi dengan kadar cepat, dinyatakan bahawa vaksin Pfizer (suntikan) satu dos sahaja memberi keberkesanan 85 peratus.

"Namun demikian, kita belum lagi buat kajian data tersebut dan kita masih lagi kekal dengan polisi dua dos untuk Pfizer," katanya pada sidang media secara maya Ketibaan Bekalan Vaksin Covid-19 Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Malaysia telah membuat ketetapan mengenai jumlah dos vaksin Covid-19 yang akan diberikan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan turut memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu bersetuju untuk memberikan satu skim perlindungan kepada sesiapa yang menerima kesan sampingan serius yang dapat dikaitkan secara langsung dengan pemberian vaksin.

Katanya, pengumuman lanjut mengenai skim itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 24 Februari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!