Gambar terbaharu Najib perli siapa?
KUALA LUMPUR - Hari ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus ‘menghiburkan’ netizen dengan gelagat bersahajanya di laman Facebook miliknya.
Perkembangan terbaharu, Najib telah menukar gambar profilnya di laman sosial itu. Meskipun hanya satu pertukaran gambar dilakukan beliau, ia bagaimanapun mendapat sambutan hangat netizen.
Mana tidaknya, tidak sampai sejam gambar beliau ditukar, hampir 41,000 pengguna menyukai gambar tersebut dan ia telah dikongsi hampir 1,700 kali serta mencatat 4,400 komen.
Apakah rahsianya? Tiada rahsia besar sebenarnya, mungkin kerana beliau ‘personaliti’ dan mungkin juga kerana beliau menggunakan gambar dirinya sedang memakai jubah dan topi konvokesyen.
Sekali imbas, tiada apa yang begitu istimewa pada gambar tersebut apatah lagi gambar Najib yang sedang tersenyum lebar itu agak kabur.
Begitupun, bagi mereka yang cakna dengan suasana politik semasa, penukaran gambar itu ibarat ‘sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya’. Netizen ratanya mengetahui maksud sebenar yang tersirat melalui gambar tersebut.
Adakah gambar itu bertujuan untuk menyindir? Najib tahu, kita juga mungkin tahu jawapannya namun semua hanya mampu meneka selagi tiada jawapan konkrit dari empunya badan.
Apa pun, Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi berjaya menghiburkan netizen dan ternyata sengat Najib masih berbisa meskipun beliau kini bukanlah perdana menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!