Jangan takut ambil vaksin
IPOH - Rakyat Perak termasuk masyarakat orang asli disaran supaya tidak takut untuk mengambil vaksin Covid-19 dalam usaha menangani sepenuhnya jangkitan virus berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, persiapan rapi bagi setiap prosedur berhubung pengambilan vaksin itu telah dibuat kerajaan negeri sepertimana ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Menurutnya, persediaan akhir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, Ipoh juga telah dilakukan bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.
"Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadualkan melawat stadium (Stadium Indera Mulia) pada Selasa ini untuk meninjau sendiri persiapan dilakukan dan sudah tentunya keberangkatan baginda untuk memberi keyakinan kepada rakyat Perak terhadap proses pengambilan vaksin Covid-19 ini.
"Jadi saya rayu kepada seluruh rakyat Perak untuk terima vaksin ini secara terbuka, jangan ada yang takut atau mudah dihasut dengan pihak yang cuba mengelak menerima vaksin ini," katanya.
Beliau berkata, seperti kebiasaan di sekolah dahulu, pengambilan vaksin penting sebagai langkah jangka panjang melindungi diri dan kekuatan antibodi.
"Dulu kita kecil-kecil di sekolah pun kita ada terima vaksin, kesannya adalah selamat. Jadi rakyat Perak termasuk orang asli perlu jadikan ini sebagai contoh untuk terima vaksin ini," katanya.
Saarani merasmikan Program Pecutan Akhir-Kelas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan Dalam Talian, di sini pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!