Vaksin beri sinar kepada pemulihan ekonomi
KUALA LUMPUR - "Saya tidak ingat bilakah kali terakhir saya begitu teruja untuk menonton siaran secara langsung di kaca televisyen dan perasaan ini terus lega dan disinari harapan tatkala menyaksikan penerbangan Malaysia Airlines MH604, pesawat penumpang Airbus A330-300 yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech untuk COVID-19 selamat mendarat."
Pada Ahad terukir di dalam lipatan sejarah bagaimana Malaysia meraikan ketibaan vaksin, selepas ekonominya hampir hancur serta kehidupan harian rakyatnya berubah sama sekali.
Oleh itu, segala gembar-gembur dan perancangan yang dibuat sepanjang menantikan hari ketibaan itu tanpa ragu-ragu lagi, amatlah wajar sekali.
Pesawat berkenaan membawa 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan diadakan secara berperingkat, mulai 26 Februari, 2021.
Vaksin ini akan membantu Malaysia untuk mengurangi secara radikal kadar jangkitan dan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan, yang pada masa ini telahpun mencatatkan 34,468 kes aktif setakat jam 12 tengah hari, 20 Februari 2021.
Kerajaan berhasrat untuk mengimunisasikan 70 peratus penduduk menjelang suku pertama 2022. Warga asing yang tinggal di Malaysia juga akan mendapat vaksin Covid-19 secara percuma.
"Ini adalah bahagian pencegahan di mana anda memberi vaksin kepada orang dan kerana semakin ramai yang menerima vaksin, semakin kecil kemungkinan mereka mendapat penyakit ini. Dengan itu, ia telah mencapai imuniti kelompok,” kata Dr Kalaiarasu Peariasamy, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal.
Justeru, keperluan untuk kawalan dan sekatan pergerakan mungkin akan berkurangan, dan ini akan membolehkan ekonomi kembali beroperasi sepenuhnya dan akhir sekali akan menuju ke arah pemulihan yang stabil.
Dalam makluman terkininya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan prospek pertumbuhan 7.0 peratus untuk Malaysia tahun ini, diikuti oleh Kemboja pada 6.8 peratus, Vietnam 6.7 peratus, Filipina 6.6 peratus dan Myanmar 5.7 peratus.
Kerajaan telah mengunjurkan kadar pertumbuhan 6.5 hingga 7.5 peratus tahun ini sementara Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan unjurannya pada Mac depan ketika melancarkan laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020nya.
Ekonomi Malaysia menyusut 3,4 peratus pada suku keempat 2020 susulan kemunculan Covid-19, menjadikan penguncupan sepanjang tahun kepada 5.6 peratus.
Ekonomi global diramalkan berkembang 5.5 peratus pada 2021, disemak secara menaik sebanyak 0.3 peratusan berbanding unjuran sebelumnya dan ini sekali gus mencerminkan jangkaan terhadap pengukuhan ekonomi yang didorong oleh vaksin serta disokong oleh polisi tambahan di beberapa ekonomi besar.
IMF, bagaimanapun berkata walaupun kelulusan untuk vaksin baru-baru ini telah memberikan harapan kepada pemulihan penularan pandemik menjelang lewat tahun ini, gelombang dan varian baharu virus telah mencetuskan kebimbangan terhadap tinjauan itu.
Kebimbangan itu adalah sesuatu yang turut disedari oleh kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa vaksin adalah penyelesaian jangka pendek untuk mencegah Covid-19.
"Dengan vaksin, kita dapat mencegah penyakit ini dalam jangka pendek, tetapi untuk jangka panjang, ia perlu dikaji lebih lanjut, mungkin untuk tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
"Paling tidak, mereka yang disuntik akan dilindungi daripada penyakit ini dalam tempoh tiga hingga enam bulan," katanya.
Di sinilah dasar dan langkah kerajaan memainkan peranan penting.
Dalam tempoh kurang daripada setahun, kerajaan telah melancarkan beberapa langkah rangsangan yang bernilai RM320 bilion, merangkumi bantuan kewangan serta dasar bagi menyokong pertumbuhan dan kehidupan.
Selain itu, kerajaan juga tegas dalam meyakinkan rakyat bahawa ia bersedia untuk membantu sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian.
Oleh itu, keyakinan yang dibawa oleh vaksin bukanlah jalan penyelesaian kepada perjalanan panjang proses pemulihan tetapi tetapi lebih sebagai perisai/perlindungan tambahan kepada ekonomi.
Keperluan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, menyesuaikan dengan normal baharu penjarakan fizikal serta menggunakan pelitup muka adalah kunci utamanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!