Tauliah khas kawal 'lambakan' penceramah agama

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pertauliahan khas yang dikeluarkan jabatan agama Islam di setiap negeri masih relevan dalam mengekang ‘lambakan’ penceramah bebas dalam menyampaikan ceramah agama di mana-mana platform termasuk media sosial, kata Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Tegas beliau, individu yang tidak memiliki tauliah khas sebagai penceramah agama adalah dilarang daripada menyampaikan ceramah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, terdapat peraturan khusus berhubung perkara itu yang dikuatkuasa di setiap negeri bagi mengekang individu tidak mempunyai tauliah dalam menyampaikan ceramah agama bagi mengelak timbulnya sebarang kekeliruan.

“Kita bukan menyekat orang berdakwah tetapi adalah lebih baik seorang penceramah itu mempunyai tauliah khas kerana kita yakin, mereka adalah orang berpandangan akidahnya ahli Sunnah Wal Jamaah dan bukan bidaah (pembaharuan dalam hal ehwal agama, ada yang baik dan ada yang tidak baik),” katanya.

Mohd Tamyes berkata, dalam mengekang ‘lambakan’ penceramah bebas itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti ceramah agama daripada penceramah yang tidak bertauliah dan boleh melakukan semakan senarai penceramah bertauliah dalam laman web jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Isu penceramah agama didebat hangat dalam kalangan warganet yang mempersoalkan kelayakan segelintir ‘pendakwah’ kerana dilihat amat terbuka membincangkan soal agama khususnya melibatkan hukum-hukum agama, tanpa mempunyai latar belakang akademik bidang agama yang ‘reliable’.

Malah, ramai turut mendakwa ada individu berani menggunakan panggilan ‘ustaz’ sebagai lesen untuk menyampaikan ceramah agama, sedangkan maklumat yang dikongsikan itu didakwa hanya berdasarkan pengalaman atau pendapat sendiri dan bukannya berpandukan dalil Al-Quran serta Hadis sahih.

Semakan dalam laman web Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), menetapkan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sesiapa yang mengajar atau berceramah tanpa tauliah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. Bagaimanapun, seksyen itu tidak diguna pakai bagi individu yang mengajar atau berceramah di kediaman sendiri untuk anggota keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan Seksyen 118 (3) enakmen sama, kategori tauliah terdiri daripada empat iaitu tauliah mengajar atau berceramah (D1), tauliah mengajar fardu ain (D2), tauliah mengajar Al-Quran (D3) dan tauliah khas (bagi individu bukan dalam kalangan orang agama tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing seperti pembangunan, keusahawanan dan kedoktoran).

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengakui 'lambakan' penceramah bebas dalam laman sosial terutamanya perlu dipantau dan kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) wajar menubuhkan sebuah badan khas bagi memantau dan mengawal keadaan ini.

“Cadangan ini juga baik kerana boleh memantau fahaman penceramah itu dan dapat menyekat mereka daripada menyimpang masyarakat kepada sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Mashitah turut mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut sama memantau penceramah agama dalam laman sosial selain masyarakat juga perlu melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan penceramah yang dipercayai menyampaikan ceramah agama yang menimbulkan kekeliruan serta tidak mengikut ajaran Islam.

Tinjauan Bernama mendapati, rata-rata orang awam mencadangkan sijil pertauliahan itu dikemukakan sebagai bukti bahawa penceramah itu mempunyai kelayakan akademik dalam bidang agama untuk berceramah dalam majlis mahupun di mana-mana platform media.

Pegawai Pemasaran Siti Aisyah Maimunah Ja'afar, 24, berkata sijil perakuan khas itu juga wajar diselaraskan di seluruh negeri supaya hanya penceramah berkelayakan dan diperakui sahaja boleh memberi ceramah.

“Dengan sijil khas itu, kita dapat pastikan mereka (penceramah) bertauliah, berintergriti, akauntabiliti, sudah disaring oleh jabatan agama dan mempunyai latar belakang pendidikan bidang agama yang kuat untuk berceramah di mana-mana sahaja.

“Soal agama bukan perkara mudah, jika ilmu yang diajar salah ada kemungkinan seseorang itu sesat atau amalkan perkara yang salah,” katanya kepada Bernama.

Penjawat awam, Mohd Nor Alhadi Mat Yaacob, 30, berpendapat sijil tauliah itu akan memudahkan masyarakat membuat semakan selain mencadangkan setiap penceramah dan program ceramah dipantau khususnya di platform media sosial.

“Pada saya wajib ada tauliah, takut nanti apa yang disampaikan tidak mengikut syariat Islam dan memesongkan akidah. Jabatan agama juga wajar memantau penceramah khususnya mereka yang masih baru dan ceramah dalam laman sosial seperti Facebook Live,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!