Polis rampas 1.2 tan daun ketum
SIK - Polis menahan seorang pemandu lori selepas menemukan 1.2 tan daun ketum dianggar bernilai RM72,000 yang dibawanya semasa sekatan jalan raya (SJR) di Merbau Kudung, dekat sini tengah malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, siasatan mendapati pemandu berumur 37 tahun itu masuk ke negeri Kedah menerusi laluan Jeli-Gerik untuk menghantar barang ke Jitra, dan ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan, suspek singgah di Titi Akar, Pendang untuk mengambil bekalan daun ketum.
Beliau berkata, lori itu melalui SJR berkenaan pada jam 12.05 tengah malam dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan, polis menemui daun ketum berkenaan yang dibungkus dalam 120 bungkusan plastik berwarna hitam.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lori itu milik majikannya dan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori menyalah guna kenderaan, selain menyalah guna kebenaran rentas negeri yang diperoleh untuk membawa ketum.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini (Ahad) dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.
Sementara itu, Abdull Razak berkata, enam kes tangkapan dan rampasan daun ketum dibuat di daerah ini sejak 13 Januari lepas hingga Ahad membabitkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM402,600. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!