Lawatan tiada kaitan PRK: Muhyiddin
SEMENYIH - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan lawatan kerja yang dilakukannya di kawasan Semenyih tidak mempunyai kaitan dengan PRK yang akan diadakan DUN tersebut pada 2 Mac depan.
Menurutnya, lawatan kerja ini adalah sebahagian daripada tugasan seorang menteri.
"Saya tak rasa ini melanggar etika. Kalau menteri tidak buat kerja, tuan puan pula kata saya sakit, saya tak buat itu dan ini... tapi saya dah jalankan tugas, saya turun ke bawah (lapangan) melawat dan berbincang.
ARTIKEL BERKAITAN: Lawatan kerja ke Semenyih hanya kebetulan
"Tiada kena mengena dengan pilihan raya. Saya datang ke sini untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan. Salah ke? Saya sebagai menteri menjelaskan hal ini agar orang ramai tidak terpedaya dan tertipu dengan tohmahan di media sosial terhadap kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Program Lawatan Kerja di Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, di sini, hari ini.
Jelasnya, ini adalah tanggungjawab sebagai menteri dan pimpinan kerajaan PH untuk memberi penjelasan.
Tambahnya, banyak isu yang dilihat seolah kerajaan hari ini 'useless' dan amat mustahak untuk memastikan orang ramai jelas dengan dasar kerajaan baharu.
Semalam, Bersih 2.0 menegur sikap para pemimpin PH terutamanya menteri dan timbalan menteri agar meletakkan standard etika yang tinggi berdasarkan kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil.
Pengerusinya, Thomas Fann berkata, lawatan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq ke Semenyih hanya seminggu sebelum tarikh penamaan calon termasuk pemberian minyak hitam motosikal percuma telah menimbulkan syak wasangka bahawa beliau menggunakan kapasiti sebagai menteri untuk berkempen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!