Pemuda OKU hilang empat hari ditemui selamat
SEREMBAN - Kebimbangan seorang lelaki berakhir apabila anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down ditemui selamat selepas hilang sejak empat hari lalu.
Dorajak Kazamad, 62, berkata, Mohammad Fareez, 34, didapati hilang selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Dahlia, Senawang secara senyap pada pagi Selasa.
"Saya ketika itu tiada di rumah kerana pergi ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
"Selepas saya pulang dari hospital, Mohammad Fareez didapati tiada dalam rumah dan saya mula mencarinya di sekitar kawasan perumahan tetapi dia gagal ditemui," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Dorajak, selepas rakannya membuat hantaran di laman sosial mengenai kehilangan Mohammad Fareez, dia mendapat panggilan telefon daripada seorang wanita pada Sabtu yang memaklumkan menemui anaknya itu di sekitar Nilai dan menghantarnya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
"Sekarang Mohammad Fareez berada di hospital dalam keadaan sihat. Alhamdulillah, dia selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!