Pemandu teksi terima bantuan secara pandu lalu
KUALA LUMPUR - Yayasan Ikram Malaysia menyalurkan bantuan secara pandu lalu kepada pemandu teksi di Lembah Klang yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, Kamsani Nasir berkata, ketika ini lebih separuh daripada 100 pemandu teksi terpilih menerima bantuan yang disalurkan di bawah Projek Kongsi Bersama.
Menurutnya, agihan bantuan itu dilakukan sebanyak tiga fasa dan setakat ini agihan fasa pertama dan kedua masing-masing dilakukan pada 11 dan 19 Februari lalu.
"Rata-rata mereka ini adalah daripada Persatuan Pemandu Teksi Bekas Tentera Wilayah Persekutuan (KL) dan Selangor yang mencari rezeki sebagai pemandu di sekitar Lembah Klang.
"Minggu hadapan adalah fasa terakhir penyerahan bantuan yayasan ini kepada pemandu-pemandu teksi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Penyerahan bantuan fasa satu dilakukan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikram Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Bagi fasa dua, bantuan itu disampaikan Kamsani sendiri di pekarangan pejabat Yayasan Ikram Malaysia di Taman Melawati.
Menurut Kamsani, terpancar senyuman di raut wajah pemandu teksi terlibat ketika menerima bantuan berupa pek makanan dan sumbangan wang yang disampaikan.
Katanya, bantuan yang disalurkan itu hasil sumbangan daripada orang ramai dan pihaknya masih lagi mengumpul dan mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak dan individu yang mahu berbuat demikian.
"Bagi membantu pemandu teksi yang memerlukan pada musim PKP ini, masih belum terlambat untuk menyalurkan sumbangan.
"Sumbangan boleh disalurkan ke akauan Maybank Islamic Berhad atas nama Yayasan Ikram Malaysia bernombor 5621 4240 4402 dan letakkan perkataan'Teksi' sebagai rujukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!